Air Mata Malam Pertama
www.iLuvislam. com
muslim_warrior
Editor : kasihsayang

  Hatiku bercampur baur antara kegembiraan, kesedihan dan kehibaan. Terlalu sukar untuk kugambarkan perasaan hatiku tatkala ini. Sanak saudara duduk mengelilingiku sambil memerhatikan gerak geri seorang lelaki yang berhadapan dengan bapaku serta tuan imam. Hari ini adalah hari yang cukup bermakna bagi diriku. Aku akan diijab kabulkan dengan seorang lelaki yang tidak pernah kukenali; pilihan keluarga. Aku pasrah. Semoga dengan pilihan keluarga ini beserta dengan rahmat Tuhan. Bakal suamiku itu kelihatan tenang mengadap bapaku, bakal bapa mentuanya. Mereka berkata sesuatu yang aku tidak dapat mendengar butir bicaranya. Kemudian beberapa orang mengangguk-angguk. Serentak dengan itu, para hadirin mengangkat tangan mengaminkan doa yang dibacakan lelaki itu.

 

Ana dah jadi isteri! ” Bisik sepupuku sewaktu aku menadah tangan. Tidak semena-mena beberapa titis air mata gugur keribaanku. Terselit juga hiba walaupun aku amat gembira. Hiba oleh kerana aku sudah menjadi tanggungjawab suamiku. Keluarga sudah melepaskan tanggungjawab mereka kepada suamiku tatkala ijab kabul. “Ya Allah! Bahagiakanlah hidup kami. Kurniakanlah kami zuriat-zuriat yang menjadi cahaya mata dan penyeri hidup kami nanti.” Doaku perlahan. Aku bertafakur sejenak. Memikirkan statusku sekarang. Aku sudah bergelar isteri. Sudah tentu banyak tanggungjawab yang perlu aku tunaikan pada suamiku dan pada keluarga yang aku dan suamiku bina nanti. “Mampukah aku memikul tanggungjawab ini nanti?” Tiba-tiba sahaja soalan itu berdetik di hati. Kadang-kadang aku rasakan seolah-olah aku tidak dapat melaksanakan tanggungjawab seorang isteri terhadap suami.

 

“Assalamualaikum!” Sapa suatu suara yang mematikan tafakur tadi. Baru aku perasan, seorang lelaki berdiri betul-betul di hadapanku. Aku masih tidak mampu untuk mendongak, melihat wajahnya itu. Aku berteleku melihat kakinya. Sanak saudara yang tadi bersama-samaku, kini membukakan ruang buat lelaki itu mendekatiku. Aku tambah gementar bila dibiarkan sendirian begini. Tanpa kusangka, dia duduk menghadapku.

“Sayang”..Serunya perlahan. Suaranya itu seolah membelai dan memujuk jiwaku supaya melihat wajahnya. Aku memaksa diriku untuk mengangkat muka, melihat wajahnya. Perlahan-lahan dia mencapai tangan kiriku, lalu disarungkan sebentuk cincin emas bertatahkan zamrud ke jari manisku.

 

“Abang”.. Seruku perlahan sambil bersalam dan mencium tangan lelaki itu yang telah sah menjadi suamiku. “Ana serahkan diri Ana dan seluruh kehidupan Ana ke pangkuan abang. Ana harap, abang akan terima Ana seadanya ini seikhlas hati abang..”Bisikku perlahan. ” Kita akan sama-sama melayari hidup ini dan akan kita bina keluarga yang bahagia.” Janjinya padaku. Itulah kali pertama aku menemui suamiku itu. Aku tidak pernah melihatnya selain daripada sekeping foto yang telah diberikan emak kepadaku.

 

Kenduri perkahwinan kami diadakan secara sederhana sahaja. Namun meriah dengan kehadiran sanak saudara terdekat dan sahabat handai yang rapat. Senang sikit, tak payah berpenat lelah. Sibuk juga aku dan suamiku melayani para tetamu yang hadir ke majlis itu. Ramai juga teman-teman suamiku yang datang. Mereka mengucapkan tahniah buat kami berdua. Tak sangka, suamiku punyai ramai kawan. Katanya, kawan-kawan sejak dari universiti lagi. Pada pandanganku, suamiku itu memang seorang yang segak. Berbaju melayu putih sepasang serta bersampin. Aku juga memakai baju pengantin putih. Kami dah berpakat begitu. Aku selalu berdoa pada Tuhan agar Dia kurniakan padaku seorang suami yang dapat membimbing dan menunjukkan aku jalan ketuhanan. Mengasihi aku sebagai seorang isteri. Tidak kuminta harta mahupun pangkat, cukuplah sekadar aku bahagia bersamanya dan dia juga bahagia denganku. Aku juga sering berdoa agar dikurniakan zuriat yang dapat membahagiakan kami.

 

**********

“Ana, ada perkara penting yang mak dan ayah nak bincangkan dengan Ana”. Ayah memulakan mukadimah bicaranya di suatu petang sewaktu kami minum petang di halaman rumah. Mak hanya diam memerhatikan aku, membiarkan ayah yang memulakan bicaranya.

 

“Apa dia ayah, mak? Macam penting je” Soalku tanpa menaruh sebarang syak wasangka. “Sebenarnya, kami telah menerima satu pinangan bagi pihak Ana.” “Apa!!!”Pengkhabaran begitu membuatkan aku benar-benar terkejut. Aku masih belum berfikir untuk mendirikan rumah tangga dalam usia begini. Aku mahu mengejar cita-citaku terlebih dahulu. Aku tidak mahu terikat dengan sebarang tanggungjawab sebagai seorang isteri. “Kenapa ayah dan mak tak bincang dengan Ana dulu?” Soalku agak kecewa dengan keputusan mak dan ayah yang membelakangi aku. Sepatutnya mereka berbincang denganku terlebih dulu sebelum membuat sebarang keputusan yang bakal mencorakkan masa depanku.

 

“Kami tahu apa jawapan yang akan Ana berikan sekiranya kami membincangkan perkara ini dengan Ana. Pastinya Ana akan mengatakan bahawa Ana masih belum bersedia. Sampai bilakah Ana akan berterusan begitu?” Ayah mengemukakan alasannya bertindak demikian. “Sebagai orang tua, kami amat berharap agar anak kesayangan kami akan mendapat seorang suami yang boleh melindungi dan membimbing Ana. “Ujar mak setelah sekian lama membisu. “Apakah Ana fikir mak dan ayah akan duduk senang melihat anak gadisnya berterusan hidup sendirian tanpa penjagaan dari seorang suami? Kami bukan nak lepaskan tanggungjawab kami sebagai orang tua, tapi itulah tanggungjawab orang tua mencarikan seorang suami yang baik untuk anak gadisnya.” Terang ayah lagi.

 

“Ana..” Seru ayah setelah dia melihat aku mendiamkan diri, menahan rasa. “Percayalah, kami membuat keputusan ini adalah untuk kebaikan Ana sebab kami terlalu sayangkan Ana.”; “Ini cincinnya, pakailah.” Mak meletakkan satu kotak kecil berbaldu di hadapanku. Perasaanku berbaur. Macam-macam yang datang. Berbelah bagi. Apa yang patut aku lakukan sekarang. Sekiranya aku menerima dan bersetuju dengan keputusan mak dan ayah itu, bermakna aku telah membiarkan cita-citaku semakin kabur dan berbalam di hadapan. Namun kiranya aku menolak, bermakna aku telah melukakan hati kedua-dua orang tuaku itu. Orang tua yang telah banyak berjasa dalam hidupku. Tanpa mereka berdua, aku takkan hadir dan mustahil untuk melihat dunia ini.

 

“Ahhhhgggg…”Keluhku sendirian. Aku dalam dilemma. Yang manakah patut aku utamakan? Perasaan sendiri atau perasaan dan harapan mak dan ayah. Aku selalu tewas bila melibatkan perasaan mak dan ayah. Aku terlalu takut untuk melukakan hati mereka. Aku takut hidupku nanti tidak diberkati Tuhan.

 

 **********

 

 

 

 

Azan maghrib yang berkumandang mengejutkan aku dari lamunan. Dah masuk waktu maghrib rupanya. Masih banyak lagi barang-barang yang belum dikemaskan. Penat juga nak kemaskan semua ni. “Nanti kite kemas lepas ni. Mari solat maghrib dulu.” Ujar ayah padaku. Adik-adik sibuk bentangkan tikar dan sejadah di ruang solat. Begitulah selalunya apabila kami berkumpul. Solat berjemaah adalah saru agenda yang tidak boleh dilupakan. Semua orang telah siap sedia menunggu sewaktu aku keluar dari berwudhuk di bilik air. Aku cepat-cepat mengenakan telekung dan memasuki saf bersama emak, kakak dan adik. Selesai je iqamah, ayah memberikan penghormatan kepada suamiku untuk menjadi imam. Dia kelihatan serba salah dengan permintaan ayah itu. Dia merenung ke arahku. Aku hanya mengangguk sebagai isyarat supaya dia memenuhi permintaan ayah itu. Maka dengan tenang, dia mengangkat takbir. Menjadi imam solat maghrib kami pada malam itu. Betapa hatiku tenang sekali menjadi makmumnya. Dengan bacaan yang jelas dan merdu itu membuatkan aku berasa kagum dengan suamiku itu. Mungkin tepat pilihan ayah dan mak buatku. Bacaannya lancar lagi fasih. Bagaikan seorang arab yang menjadi imam.

 

“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami terlupa atau tersilap. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kami dengan bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Jangan Engkau pikulkan kepada kami apa-apa yang tidak terdaya kami memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami.” “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami daripada isteri dan suami serta zuriat keturunan yang boleh menjadi cahaya mata buat kami dan jadikanlah kami daripada golongan orang-orang yang muttaqin.” Dia membaca doa dengan khusyuk memohon kepada Tuhan setelah selesai solat. Kami bersalaman.

Aku mendekati suamiku sambil menghulurkan tangan. “Bang, maafkan Ana!” Bisikku perlahan sewaktu mencium tangannya. Dia kemudiannya mengucupi dahiku sebagai tanda kasih yang tulus. “Sayang tak ada apa-apa salah dengan abang.” Ujarnya sambil tersenyum merenung wajahku. Selepas berwirid dan berzikir, dia bangun menuju ke halaman rumah. “Abang nak ke mana tu?” Soalku. “Nak kemaskan barang-barang kat bawah tu. Ada sikit lagi.” Jawabnya. “Dah la tu. Rehat jelah. Esok kita boleh sambung lagi.”Aku kesian melihatnya, keletihan. “Betul kata Ana tu Zul. Sambung esok sajalah.” Sampuk ayah yang tiba-tiba mendengar perbualan kami. Emak pun mengangguk menyetujui sarananku itu. “Takpelah ayah, Ana. Sikit aje tu. Kejap je saya buatnya.” Dia masih berkeras sambil berlalu turun ke halaman rumah untuk mengemas beberapa peralatan yang masih lagi berada di bawah khemah. Aku menukar pakaian, kemudian keluar membantu suamiku mengemas barang-barang di halaman rumah. Dia kelihatan asyik tanpa menyedari kehadiranku. Semua barang-barang telah dikemasnya. Aku mencapai kain pengelap dan mula mengelap meja.

 

“Bila Ana turun?” Soalnya apabila menyedari aku sedang mengelap meja. ” Baru aje. Asyik sangat abang buat kerja sampai tak sedar Ana datang.” “Maafkan abang sayang.” Dia menghampiriku. “Sayang tak marahkan?” Soalnya lagi sambil memeluk pinggangku erat. Aku merenungnya, kemudian mengeleng-ngeleng sebagai tanda aku tak ambil hati pun pasal tu. Dia tersenyum sambil menghadiahkan satu ciuman di pipiku. “Ish..abang ni! Nanti dilihat orang, malu kita.” Rungkutku tersipu-sipu. Nanti malu juga kalau dilihat oleh ahli keluargaku. “Apa nak malu, kan sayang ni isteri abang.” Jawabnya tersenyum. “Tau la, tapi tengok la keadaan dan tempat. Kalau kita berdua saja, lebih dari cium pun Ana bagi.” “Betul ni?”Soal suamiku cepat-cepat. “Ish..Gatal la abang ni!” Dia cuba mengelak dari menjadi mangsa cubitan tanganku. Aku terasa bahagia disayangi begini. Inilah pertama kali dalam hidupku merasai betapa nikmatnya cinta dan kasih sayang seorang kekasih hati yang aku sayangi.

 

Aku tidak pernah terlibat dengan cinta walaupun semasa aku di universiti dulu. Dan pada tika ini, aku akan menikmatinya selepas perkahwinan. Cinta seorang suami terhadap seorang isteri. Walaupun begitu,masih ada sedikit rasa takut di hatiku. Aku takut aku tidak mampu untuk menunaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Aku takut aku tidak mampu untuk menjadi seorang isteri yang solehah dan mulia dalam hidup suamiku. “Apa yang Ana menungkan ni?” Soalan itu mengejutkan aku dari lamunan. Aku berehat sekejap di atas kerusi batu dalam taman di halaman rumah setelah selesai mengemas barang-barang. “Abang ni, terkejut Ana tau!” Aku buat-buat merajuk. Saja nak menduga bagaimana suamiku memujuk. “Alaa..sayang ni..macam tu pun nak marah.” Usiknya sambil mencubit pipiku. “Nampak gayanya terpaksalah abang tidur bawah katil dengan nyamuk-nyamuk malam ni sebab isteri abang dah merajuk. Kesian kat abang yea!” Aku mula tersenyum dengan kata-kata suamiku itu. Pandai juga suamiku buat lawak nak memujuk aku.

 

“Sayang…” Seru suamiku sambil merangkul tubuhku. “Sayang nak honeymoon kemana?” Tak terfikir pulak akau pasal honeymoon tu. Aku pun tak ada apa-apa plan atau cadangan pasal tu. “Ana ikut aje ke mana abang nak bawa.” “Kalau abang bawa ke bulan atau bintang, sayang nak ikut ke?” Guraunya. “Banyak ke duit abang nak bayar tambang roket dan nak beli set bajunya nanti?” Soalanku itu membuatkan suamiku pecah ketawa. “Nanti sayang nak berapa orang anak?” Soalnya lagi setelah ketawanya reda. “Abang nak berapa?” Soalku kembali tanpa menjawab soalannya. “Abang nak sebanyak mungkin. Larat ke sayang nanti?” “Ish…abang ni. Abang ingat Ana ni kilang anak ke?” Sekali lagi suamiku ketawa. Nampaknya dia adalah orang yang mudah ketawa. “Takdelah macam tu. Tapi abang suka kalau kita ada anak yang ramai. Sama banyak lelaki dan perempuan.” “Insya Allah, kalau ada rezeki nanti Ana sanggup.” Penjelesanku itu membuatkan suamiku tersenyum gembira. “Ni yang buat abang tambah sayang ni.” Satu lagi kucupan mesra singgah di pipiku. Aku terasa bahagia diperlakukan begitu. Aku punyai suami yang baik dan penyayang. Aku rasa dilindungi.

 

“Zul, Ana! Jom kita makan dulu!” Suara mak memanggil. “Mari bang! Ana pun dah lapar ni.” Ajakku sambil memimpin tangannya. Kami bangun beriringan masuk ke dalam rumah untuk menghadapi hidangan makan malam. Rasa lapar la juga kerana sejak tadi lagi asyik layan tetamu dan buat kerja aje sampai lupa untuk makan. Seronok sangat dengan kahadiran kawan-kawan rapat serta gembira dianugerahi seorang suami yang baik. Sudah beberapa hari aku asyik memikirkan pasal pertunanganku. Terlalu sukar untuk aku menerimanya. Tambah lagi dengan lelaki yang tidak pernah kukenali. Perkahwinan bukanlah sesuatu yang boleh diambil mudah. Kehidupan yang memerlukan persefahaman sepanjang hidup. Tanpa persefahaman dan tolak ansur, mustahil dua jiwa dan dua hati boleh bersatu dalam menjalani hidup sebagai suami isteri. Tidak sedikit cerita yang aku dengar tentang rumah tangga yang hanya mampu betahan buat seketika atau separuh jalan sahaja. Kemudian pecah berkecai umpama kapal dipukul badai. Berselerak dan bertaburan. Apatah lagi kalau dah dikurniakan anak. Anak-anak akan jadi mangsa keadaan. “Mampukah aku menerima suamiku nanti sepenuh hatiku? Mampukah aku menyediakan seluruh ruang isi hatiku ini buat suamiku itu? Bahagiakah aku bila bersamanya nanti?” Bertalu-talu persoalan demi persoalan menerjah benak fikiranku. Aku rasa amat tertekan dengan keadaan ini. Bukan aku tak fakir pasal rumah tangga, tapi aku masih belum bersedia untuk melaluinya.

 

“Ya Allah, bantulah aku dalam membuat keputusan. Tunjukkanlah aku jalan penyelesaian. Janganlah Engkau biarkan aku sendirian dalam menentukan masa depan hidupku.” “Ya Allah, aku benar-benar tersepit antara kehendak orang tuaku dan persaan hatiku sendiri. Kiranya ia baik buatku, maka berilah aku redha dalam menerimanya wahai Tuhan. Indahnya kuperhatikan suasana kamarku. Aku sendiri yang menghiasinya. Kamar malam pertamaku bersama seorang lelaki yang bergelar suami. Kamar yang akan menjadi saksi bisu bila mana aku menyerahkan khidmatku pada seorang suami. Kegusaran dan sedikit gentar mula bertandang dalam sanubari. Aku rasa takut sendirian untuk melalui keindahan malam pertama ini. Bagaimanakah akan melayani suamiku nanti? Ketukan pada pintu bilik membuatkan hatiku bertambah gusar. Dari tadi lagi aku hanya duduk di birai katil.

 

“Masuklah, pintu tak berkunci.” Aku bersuara perlahan. Aku pasti, itu adalah suamiku. Dia masuk, kemudian menutup pintu bilik kami dengan perlahan. Dia kemudiannya menghampiri dan duduk di sisiku. ” Kenapa asyik termenung aje ni? Sayang tak gembirakah bersama abang?” Aku tak menyangka soalan itu yang diajukan oleh suamiku tatkala ketakutan di malam pertama begitu membanjiri jiwaku. Aku hanya mampu mengeleng-ngeleng. Aku sendiri tak tahu apa jawapan yang terlebih baik untuk soalan suamiku itu. “Habis tu apa yang sayang menungkan ni?” Ana takut bang!” Itulah aku rasa jawapan yang tepat bagi menjawab soalannya. Dia memelukku erat sambil membelai rambutku. ” Apa yang nak ditakutkan? Abangkan ada. Abang akan bantu dan tolong sayang. Kita sama-sama bina keluarga kita.” Pujuk suamiku.

 

” Ana takut Ana tak mampu untuk menjalankan tugas sebagai isteri abang. Ana banyak kelemahan bang. Ana takut nanti Ana akan mengecewakan abang. Ana takut..” Aku tidak sempat untuk meneruskan kata-kataku kerana suamiku telah meletakkan telunjuknya di bibirku tanda tidak membenarkan aku menghabiskan bicaraku. Terkebil-kebil mataku memandangnya.

” Sayang, abang terima sayang sebagai isteri abang seadanya. Abang terima segala kelebihan dan kekurangan yang ada pada sayang. Usahlah sayang risaukan pasal itu. Ok sayang! ” Bisiknya. Aku memeluknya syahdu di atas penerimaannya terhadapku. ” Sayang, abang nak mandi kejap. Badan ni dah rasa macam melekit.” Aku bangun membuka almari pakaian dan mencapai sehelai tuala serta kain pelikat. Kuhulurkan kepadanya dengan penuh kasih sayang. Dia tersenyum kepadaku dan mencium pipiku sebelum berlalu ke bilik air. Kemudian aku terdengar siraman air terjun ke lantai. Malam berarak perlahan. Langit kelihatan gelap pekat tanpa bulan dan bintang. Mungkin sekejap lagi hujan akan mencurah, membasahi bumi yang sudah beberapa hari merindui titis air untuk membajai ketandusannya.

 

 **********

 

“Ayah, mak! Ana dah buat keputusan.” Beritahuku sewaktu kami sedang berehat di beranda rumah pada suatu hari. Ayah yang sedang membaca akhbar dan emak yang sedang menyulam tiba-tiba memandangku serentak, kemudian berpaling sesama sendiri. ” Keputusan tentang apa?” Soal ayah inginkan kepastian. Mungkin mereka tertanya-tanya keputusan apakah yang telah kubuat. ” Pasal peminangan tu.” Ujarku. Ayah dan emak kembali merenungku. Mereka memberikan perhatian kepada apa yang bakal aku beritahu. Keputusan yang telah kubuat setelah berfikir baik dan buruknya. Keputusan yang bakal menentukan masa depan arah perjalanan hidupku. ” Kiranya ini takdir Tuhan, maka Ana redha dengan jodoh yang ayah dan emak pilih.” Terasa pilu sekali hatiku sewaktu meluahkannya. Ada sedikit titis jernih jatuh ke riba. Aku mengesatnya dengan hujung jari. Emak bangun dan memelukku. Aku tidak tahu apakah ertinya pelukan emak itu. Pelukan gembira oleh kerana aku menerima pilihan mereka atau pelukan untuk menenangkan jiwaku yang sedang berkecamuk dan sedih ini? Hanya emak yang tahu hakikatnya.

 

” Syukurlah, moga Ana bahagia nanti.” Ucap ayah padaku.. Aku terpaksa berkorban demi untuk melihat senyuman di bibir ayah dan emak walaupun hatiku sendiri terpaksa menangis. Tapi adalah terlebih baik bagiku memakan hatiku sendiri daripada memakan hati orang tua ku. “Nanti mak kenalkan dia pada Ana.” Ujar emak sambil tersenyum kerana keputusanku memihak kepada mereka. ” Tak payahlah mak. Kenalkan pada Ana di hari perkahwinan tu aje.” Aku rasa lebih baik demikian kerana selepas ijab Kabul aku sudah tidak punyai pilihan lain selain daripada menerima walaupun dengan terpaksa lelaki pilihan ayah dan emak ku itu sebagai suamiku. Aku tidak mahu pertemuan sebelum ijab kabul nanti akan menyebabkan aku berbelah bagi dengan keputusan yang telah aku buat. ” Kenapa pula macam tu? Kan lebih baik kalau Ana berkenalan dahulu dengannya.” Ayah mempersoalkan keputusanku itu. ” Ana telah memenuhi kehendak ayah dan mak dengan menerima pilihan ayah dan mak. Tak bolehkah ayah dan mak memenuhi permintaan dan kehendak Ana pula?” Aku berlalu meninggalkan mereka dalam keadaan tercengang dengan permintaan ku itu.

 

 **********

 

Aku siapkan kamar tidur seadanya. Aku letakkan pakaian persalinan buat suamiku di atas katil. Aku menunggunya keluar dari bilik air. Aku sendiri telah bersiap-siap menukar pakaian malam menanti suamiku itu dengan penuh debaran. Kedengaran pintu bilik air dibuka. Dia keluar sambil tersenyum ke arahku. ” Sayang, boleh tak ambilkan abang segelas air. Dahagalah.” Pintanya sambil mengelap-ngelap badannya dengan tuala di tangan. ” Baik bang. Bang, ni baju abang.” Ujarku sambil bangun untuk ke dapur. Sewaktu aku keluar, lampu di ruang tamu semuanya telah dipadamkan. Kulihat jam dah dekat pukul 1 pagi. ” Patutlah.” Bisik hatiku. Aku meneruskan langkahku ke dapur dalam smar-samar cahaya bilik yang masih lagi terpasang. Kupenuhkan labu sayung dengan air masak dan ku capai sebiji gelas. Aku membawa kedua-duanya menuju ke bilik. Suasana malam agak sunyi. Tiada bunyi cengkerik atau cacing tanah. Cuma kat luar sana kadang-kadang langit kelihatan cerah diterangi cahaya kilat memancar. Malam yang pekat bakal mencurahkan hujan. Sewaktu aku melangkah masuk ke bilik, kelihatan suamiku sedang khusyuk berdoa atas sejadah. Mulutnya terkumat kamit tanpa kutahu butir bicaranya. Kutuangkan air kedalam gelas dan kuletakkan atas meja menanti suamiku selesai berdoa. Kemudian dia bangun menghampiriku. Aku menghulurkan gelas air kepadanya.

“Bang….”Seruku. “Ada apa sayang?” Soalnya apabila melihat aku tersipu-sipu kearahnya. “Malam ni abang nak…..nak…..”Agak segan untuk kuteruskan pertanyaan itu. Suamiku masih lagi menanti persoalan yang kutanya… ” Nak apa sayang?” Soalnya lagi sambil tersenyum. “Ah..abang ni…”Aku malu sendirian apabila melihat suamiku seolah-olah dapat membaca fikiranku. “Ya, abang nak sayang layan abang malam ni. Boleh tak?” Bisiknya ketelingaku. Aku hanya mampu mengangguk-angguk tanda bersedia untuk melayani segala kehendak dan kemahuannya. Aku cuba untuk mempersiapkan diri sebagai seorang isteri yang mampu menyediakan dan memenuhi segala keperluan dan kemahuan suamiku itu.

 

“Assalamualaikum, wahai pintu rahmat!” Bisik suamiku. ” Waalaikumussalam wahai tuan pemilik yang mulia.” Jawabku. Malam yang gelap kehitaman itu kulaluinya bertemankan seorang lelaki yang telah kuserahkan kepadanya seluruh jiwa dan ragaku ke dalam tangannya. Dia berhak segala-galanya keatasku. Sebagai seorang isteri, aku mesti sentiasa patuh kepada segala arahan dan suruhannya selagi mana ia tidak bercanggah dengan ketetapan Tuhan dan Rasul. Pertama kali kulalui dalam hidupku, malam bersama seorang lelaki yang telah dihalalkan aku keatasnya. Aku umpama ladang dan suamiku itu adalah peladang. Ia berhak mendatangiku mengikut sekehendak hatinya. Aku telah membaca beberapa buah buku tentang alam perkahwinan, rumahtangga dan tanggungjawab seorang isteri apabila aku menerima pilihan emak dan abah terhadapku. Aku cuba untuk mempraktikkannya selagi aku termampu untuk melakukannya. Aku cuba menjadi yang terbaik bagi suamiku. Aku ingin suamiku bahagia bersamaku. Aku ingin menjadi permaisuri yang bertahta di hati dan jiwanya sepanjang usia hayatnya.

Rasulullah bersabda: “Sebaik-baik isteri itu ialah yang dapat menenangkan kamu apabila kamu melihatnya dan taat kepada kamu apabila kamu perintah dan memelihara dirinya dan menjaga hartamu apabila kamu tiada.” Rasulullah bersabda: “Setiap wanita itu adalah pengurus sebuah rumahtangga suaminya dan akan ditanyakan hal urusan itu.” Rasulullah bersabda: “Isteri yang mulia ini merupakan sesuatu yang terbaik di antara segala yang bermanfaat di dunia.” Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya wanita yang baik itu adalah wanita yang beranak, besar cintanya, pemegang rahsia, berjiwa kesatria terhadap keluarganya, patuh terhadap suaminya, pesolek bagi suaminya, menjaga diri terhadap lelaki lain, taat kepada ucapan suaminya dan perintahnya, dan apabila bersendirian dengan suaminya, dia pasrahkan dirinya kepada kehendak suaminya itu.”

 

Sesungguhnya perkahwinan ataupun rumahtangga itu bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh atau yang boleh dipermain-mainkan. Ia adalah suatu ikatan yang menghalalkan yang haram sebelumnya. Ia memerlukan persefahaman, tolak ansur, saling mempercayai, tolong-menolong, kasih mengasihi seikhlas hati dan sebagainya. Tanpa itu semua, mana bisa dua jiwa yang berlainan sifat dan sikap mampu mengharungi sebuah kehidupan yang penuh dengan dugaan ini bersama-sama. Ia amat mustahil sekali.

 

Maka seharusnya kita perlu mempersiapkan diri sebelum memasuki gerbang perkahwinan dengan pelbagai ilmu. Ilmu kekeluargaan, ilmu keibu bapaan, psikologi kanak-kanak dan sebagainya. Jangan cuba untuk menghampirinya selagi mana kita belum benar-benar bersedia untuk menghadapinya. Jangan kita fikirkan tentang nafsu semata-mata. Fikirkan sama tentang tanggungjawab yang bakal kita pikul nanti. Tanggungjawab sebagai seorang suami ataupun isteri, tanggungjawab sebagai seorang bapa ataupun ibu. Mampukah kita semua memenuhi atau menunaikan tanggungjawab dan tuntutan itu. Kita pastinya akan dipersoalkan tentang pertanggungjawaban itu. Sama ada di dunia mahaupun di hadapan Tuhan nanti. Kerana tanggungjawab itu adalah amanah yang perlu ditunaikan oleh setiap orang. Bunyi batuk yang berlarutan menyebabkan aku tersedar dari tidur istimewaku malam ini. Sewaktu aku membuka mata, aku lihat suamiku sedang bersimpuh diatas sejadah.

 

Dia mengurut-urut dadanya menahan batuk. Aku bingkas bangun, turun dari katil dan menghampirinya. “Abang tak apa-apa?” Soalku risau dengan keadaannya. Aku mula risau, takut-takut suamiku itu mempunyai penyakit-penyakit tertentu yang tidak aku ketahui. “Abang ok je. Mungkin sejuk sikit kot.”Jelasnya. Mungkin juga. Hawa dinihari itu sejuk sebab hujan masih lagi bergerimis selepas mencurah lebat semalam. “Pergilah mandi, ayah dan semua orang sedang menunggu kita untuk berjemaah di luar tu.” Arah suamiku sambil tersenyum merenungku dengan pijama itu. Aku malu sendirian bila mata suamiku menyorot memerhati seluruh tubuhku itu. “Nakallah abang ni.” Aku bangun mencapai tuala dan terus ke bilik air untuk mandi. Aku masih lagi terdengar batuk-batuk dari luar. Ayah mahu suamiku mengimami solat subuh itu, tapi suamiku menolak dengan alasan dia batuk-batuk dan tak berapa sihat. Namun ayah masih berkeras, maka terpaksalah dia menjadi imam. Kesian aku melihatnya. Bacaannya tidak selancar semalam. Banyak tersangkut dan terpaksa berhenti atau mengulanginya kerana asyik batuk-batuk sahaja. Aku mula risau lagi dengan keadaan begitu. Selepas beriwirid pendek, dia membacakan doa dengan perlahan tapi masih boleh didengari oleh semua ahli keluargaku.

 

Aku lihat muka suamiku agak kepucatan. “Kenapa ni bang?” Soalku sewaktu bersalaman dengannya. ” Entahlah, abang rasa kurang sihat sikit pagi ni..” “Zul sakit ke?” Tanya ayah. “Takdelah, cuma kurang sihat sikit. Mungkin sebab cuaca kot.”Jawabnya. “Elok makan ubat, nanti takut melarat pulak.” Sampuk mak. “Nanti Ana ambilkan ubat.” Aku bangun ke dapur untuk mengambil ubat dalam rak ubat. Ubat-ubatan asas sentiasa tersimpan dalm rak ubat di rumahku. Ini bagi memudahkan bagi tujuan rawatan segera kalau ada apa-apa berlaku. Aku ambil sebotol ubat batuk dan segelas air. Suamiku sudah masuk ke bilik. Batuknya agak berkurangan sedikit dari tadi. Mungkin betul juga ia ada kaitan dengan keadaan cuaca yang sejuk. Dia menghirup sirap batuk yang kusuapkan. “Terima kasih.” Ucapnya perlahan. Aku angguk. “Abang berehatlah.” Ujarku sambil membaringkan badannya ke atas tilam.

 

Abang minta maaf kerana menyusahkan sayang.” ” Kenapa pula abang cakap macam tu. Sikit pun Ana tak rasa susah.” “Abang tahu sayang susah hati tengok abang begini. Sepatutnya hari pertama begini, abang kena membahagiakan sayang. Tapi abang minta maaf sebab keadaan abang tak mengizinkan.” “Dahla tu bang. Ana isteri abang. Ana sentiasa bersedia berkhidmat untuk abang tanpa sedikit pun rasa susah.”Pujukku walaupun sebenarnya hatiku memang runsing dengan keadaannya. “Walau apapun yang berlaku, abang tetap sayang dan cintakan sayang. Sayanglah satu-satunya buah hati abang.” Sambung suamiku tanpa menghiraukan nasihatku supaya dia berehat saja. Entah kenapa tiba-tiba sahaja hatiku dilanda kesedihan. Entah darimana ia berputik. “Abang minta maaf atas segalanya. Sayang maafkan abang yea” “Abang nak tidur dulu. Mengantuk rasanya.” Ujarnya perlahan. “Abang tidurlah.” Aku menarik selimut untuk menyelimutinya. Aku menciumi dahinya. Sekejap sahaja dia terlena selepas mulutnya terkumat kamit membacakan sesuatu. Aku memerhatikan suamiku buat seketika. Tidurnya kelihatan tenang dengan susunan nafas yang teratur. Aku suka melihat wajahnya yang memberikan ketenangan buatku. Wajahnya yang agak bersih dihiasi dengan kumis dan jambang yang nipis dan terjaga.

Aku berdoa dan berharap agar kurniaan Tuhan ini akan berkekalan bersamaku hingga ke akhir hayat. Namun segala-galanya telah ditentukan Tuhan. Hidup, mati, rezeki, baik dan buruk seseorang hamba itu telah ditentukan Tuhan semenjak ia berada dalam kandungan ibunya lagi. Maka aku sebagai seorang hamba yang lemah terpaksa menerima segala kehendaknya dengan redha dan tenang. Siapa tahu, rupa-rupanya itulah hari pertama dan terakhir aku bersama suamiku yang baru aku kenali itu. Aku hanya mengenalinya seketika sahaja, namun dia telah meninggalkan aku buat selama-lamanya. Aku belum sempat untuk menjalankan tugasan sebagai isteri dengan sepenuhnya. Apalagi yang dapat aku lakukan. Patutlah dia asyik memohon maaf dariku. Sewaktu aku ingin mengejutkannya untuk bersarapan, berkali-kali aku cuba memanggil namanya. Namun dia masih tak menjawab. Aku menggoncang tubuhnya, tetapi tetap tak ada respon. Aku sentuh tangannya, sejuk. Aku memeriksa nadi dan denyutan jantungnya. Senyap! Air mataku terus je mengalir tanpa dapat ditahan lagi. Menangisi kepergian seorang suami. Aku tersedu-sedu sewaktu semua ahli keluarga masuk kebilik untuk melihat apa yang berlaku setelah terlalu lama aku cuba mengejutkan suamiku itu. Tapi rupanya hanyalah jasad yang terbujur kaku.

 

********** 

 

” Sudahlah Ana, bersyukurlah kerana masih ada lagi pusaka tinggalannya buat Ana.” Pujuk emak. Aku hanya mampu tersenyum dengan pujukan emak itu sambil memandang wajah seorang bayi lelaki yang sedang nyenyak tidur disebelahku. Itulah takdir Tuhan, malam pertama yang telah membuahkan hasil. Walaupun hanya pertama, tapi itulah panglima yang menang dalam pertarungan bagi menduduki rahimku ini. Hari ini, zuriat suamiku itu telah menjenguk dunia ini. Satu-satunya pusaka yang tidak ada nilai buatku selain sebuah rumah yang telah diwasiatkan oleh suamiku buatku. Ya Allah, tempatkanlah rohnya bersama golongan yang soleh. Ya Allah, rahmatilah anakku ini. Jadikanlah dia umpama bapanya yang sentiasa taat kepadamu. Jadikanlah ia berjasa kepada perjuangan dalam menegakkan agamamu. Jadikanlah ia sebagai permata yang membahagiakan aku dan seluruh keluargaku.

Hati Tidak Bahagia

Sebab-sebab Hati Tidak Bahagia Ialah Kerana Adanya Mazmummah Di Dalam Hati

Antara mazmummah utama yang menghilangkan bahagia di hati ialah :

1. Pemarah - paling mudah dikesan atau dilihat dan paling banyak di dalam diri manusia. Orang seperti ini jarang mendapat kawan dan hati tentunya tidak terang. (sape nak dekat kalau asyik nak marah ajer..bawak2lah senyum..tentu org tak takut nak dekat punyer..)

2. Pendendam - tersembunyi iaitu ibarat mengumpul lahar di dalam dada. Orang seperti ini sentiasa mencari-cari peluang untuk membalas dendam hatta secara yang kecil-kecil sekalipun seperti sakitkan hati atau tempelak orang yang didendami itu. Sebab itu orang pendendam mudah kena sakit jantung. (ini kes dendam kesumat lahh nie..)

3. Hasad dengki - amalanya hangus akibat hasad dengkinya itu kerana ia memiliki sifat ketuhanan. (tak elok dengki mendengki nih..)

4. Bakhil- sentiasa merasakan orang lain menginginkan harta, kesenangan, pangkat dll. dari dirinya. Contohnya sentiasa berdalih mengatakan ia tiada duit. (rezeki yang diberi oleh Allah elok dikongsi bersama..-derma)

** Allah lebih sayang orang yang fasiq tetapi pemurah tetapi benci orang yang abid tetapi bakhil.. Kerana walaupun fasiq, pemurahnya itu tetap memberi manfaat pada orang lain kerana kadangkala rezeki itu Allah beri melalui makhluk.

5. Tamak - orang yang tidak puas dengan yang sedikit nescaya tidak akan puas dengan yang banyak kerana dunia ini ibarat meminum air laut…walau berapa banyak yg diminum tetap tak abis jugak…lagipun org tamak selalu rugi..

** Ingat ! yang dikatakan harta atau rezeki kita bila ia dipakai atau digunakan oleh kita. Selagi tidak diguna iaitu disimpan, itu belum boleh dikatakan rezeki kita. (mungkin ada hak orang lain di situ) Biarlah rezeki itu sedikit tetapi mendapat keberkatan iaitu dapat dimanfaatkan.

6. Tidak sabar- andainya perkara yang kecil pun tidak boleh bersabar apatah lagi hal-hal yang lebih besar. (oleh itu banyak2kanlah bersabar bila hadapi dugaan..cthnyer time keja banyak..tetap maintain vogue walau keja bertimbun atas meja..heh..heh. .)

7. Ego- ibu segala mazmummah jadi ia membuatkan seseorang paling tidak tenang. Orang yang memiliki sifat ini pantang tercabar dari sudut zahir mahupun batin. (yg nie no komen)..pasal semua org ader egonya sendiri..cuma tinggi/rendah tahap keegoan tersebut…

8. Riak - terseksa sendiri kerana sentiasa tercari-cari peluang untuk dipuji. Sentiasa berlakun-lakun di depan orang. Jika ia dipuji, ia akan menambah amalnya tetapi jika dikeji, ia akan mengurangkan amalnya. –Allah marah kalau kita riak..takabbur dgn aper yg kita ada…

9. Cinta Dunia - tidak dapat menderita, …dapat pun menderita kerana bila sudah dapat susah pula menjaganya. Berhartalah tidak mengapa tetapi kawal hati jangan diletakkan pada harta itu. – biler mati cuma bawa amalan dan doa anak yg soleh/solehah…

** Cinta dunia merupakan “neraka dunia” kerana dunia itu “panas” akibat ia merupakan barang buruan dan rebutan. Jadi letakkanlah akhirat itu di hati dan dunia itu di tangan supaya dunia itu senang dibahagi-bahagi dan akhirat dibawa mati.

Kesimpulan:
Jadi yang meragut kebahagiaan sebenarnya bukanlah secara TOTALnya disebabkan kemiskinan, musibah, kesibukan dllnya. tetapi ialah MAZMUMMAH.

**** Makin Tinggi Mazmummah Seseorang, Makin Ia Tidak Bahagia. ****

Samada bermujahadah atau biarkan saja mazmummah itu, kedua-duanya tetap menderita tetapi andainya bermujahadah kita akan dibantu Allah dan akan bahagia jua akhirnya. So..sama-samalah kite sentiasa ingat mengingati antara satu sama lain…andai kita terleka dengan dunia …buruklahh padahnya…

Ibu Mithali

PENERIMA ketiga berjalan perlahan-lahan turun dari pentas. Di lehernya, telah terkalung pingat “Ibu Mithali”. Tangan kanannya menggenggam erat satu sampul dan segulung sijil. Tangan kirinya pula memegang beberapa hadiah iringan. Anaknya setia melangkah di sisi.

“Sekarang …,” suara pengacara majlis bergema kembali, “Tibalah kita kepada penerima anugerah “Ibu Mithali” yang terakhir. Penerima ini agak lain daripada yang lain dan sungguh istimewa. Untuk itu, dipersilakan Puan Afifah Rashid naik ke pentas bersama- sama Cik Nurul Humairah, untuk tampil memperkenalkan ibunya. Dipersilakan. ”

Mataku tercari-cari pasangan ibu dan anak yang bakal mengambil tempat itu. Di barisan penonton paling hadapan, aku dapati seorang anak gadis berkulit hitam manis dan bertubuh tinggi lampai, sedang berusaha memujuk seorang wanita dalam lingkungan usia 60-an untuk bangun.

Aneh, kenapa ibu yang seorang ini nampaknya begitu keberatan untuk naik ke pentas? Kenapa dia tidak seperti tiga orang penerima sebelumnya, yang kelihatan begitu bangga menapak naik ke pentas, sebaik sahaja mereka dijemput?

Hampir lima minit kemudian, barulah tampak si anak gadis yang memakai sepasang kebarung bertanah ungu dan berbunga merah jambu serta bertudung ungu kosong, bersusah payah memimpin ibunya naik ke pentas.

Ibu itu pun menduduki kerusi yang telah diduduki oleh tiga orang penerima sebelumnya. Anak gadis itu kemudiannya beredar ke pembesar suara. Dia beralih pandang kepada ibunya yang hanya tunduk memerhati lantai pentas.

‘Pelik sungguh ibu yang seorang ini. Lagaknya bukan lagak orang yang akan menerima anugerah. Dia tak ubah seperti seorang pesalah yang sedang menanti hukuman. Duduknya serba tak kena. Sekejap beralih ke kanan, sekejap berpusing ke kiri. Tangannya menggentel-gentel baju kurung biru muda yang dipakainya.’

Dehem si anak dalam pembesar suara membuat aku sedikit tersentak.
Tumpuanku yang sekian lama terhala ke pentas, aku alihkan pada buku notaku. Aku menconteng-conteng helaian yang masih putih bersih itu untuk memastikan penku dalam keadaan yang baik. Kemudian, aku memeriksa kameraku. Filemnya masih ada. Baterinya masih dapat bertahan.

Sempat juga aku mengerling rakan-rakan wartawan dari syarikat akhbar dan majalah lain yang duduk di kiri kananku. Nampaknya, pen sudah berada dalam tangan masing-masing. Mata mereka sudah terarah kepada ibu di atas pentas dan anak yang sudah pun memulakan bicaranya dengan bismillah dan, memberi salam.

Aku tersenyum dan mengangguk kepada rakan- rakan wartawan yang duduk semeja denganku. Tetapi, senyuman dan anggukanku sudah tidak sempat mereka balas. Aku lantas mengemaskan dudukku mencari posisi yang paling selesa.

“Pertama sekali, saya ingin memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah, kerana dengan izin-Nyalah saya dan, mak berada dalam majlis yang gilang-gemilang ini. Seterusnya, saya ingin merakamkan penghargaan saya kepada pihak penganjur yang telah mempertimbangkan mak saya sebagai, salah seorang penerima anugerah “Ibu Misali” tahun ini.”

Suasana menjadi sunyi. Hadirin memberi tumpuan sepenuhnya kepada percakapan gadis itu.

“Sebetulnya, ketika saya kecil, saya memang membenci mak. Darjah kebencian itu meningkat setelah saya mendapat tahu Puan Afifah hanyalah mak angkat saya. Pada masa yang sama, saya merasakan sayalah anak yang paling malang , disisihkan oleh ibu sendiri, dan diperhambakan pula oleh mak angkat untuk membantu menjaga anak-anak kandungnya”

“Membantu menjaga anak- anak kandungnya? Mungkin, persoalan itu sedang pergi balik dalam benak tuan-tuan dan puan-puan sekarang. Persoalan itu pasti akan terjawab sebentar lagi, apakala saya mempertontonkan rakaman video yang memaparkan kehidupan anakanak kandung mak. Sebelum itu, saya harus menegaskan bahawa anak-anak yang bakal hadirin lihat nanti bukan terdiri daripada doktor, peguam, jurutera, pensyarah, ahli perniagaan, pemimpin masyarakat, dan guru, seperti mana anak ketiga-tiga “Ibu Mithali” yang baru menerima anugerah sebentar tadi.”
Suara hadirin yang kehairanan mula kedengaran.

“Inilah dia abang-abang dan kakak- kakak saya!” suara hadirin semakin kedengaran. Mereka tidak dapat membendung rasa kekaguman.

“Yang mengeluarkan berbagai-bagai bunyi itu, Abang Long. Yang sedang merangkak ke sana ke mari itu, ialah Kak Ngah. Yang sedang mengesot ke ruang tamu itu, ialah Abang Alang. Yang sedang berjalan sambil berpaut pada dinding itu, ialah Kak Anjang. Yang sedang berjalan jatuh dari dapur ke dalam bilik itu, ialah Abang Andak.”

“Seperti yang tuan-tuan dan puan-puan saksikan, tahap kecacatan fizikal dan mental abangabang dan, kakak-kakak saya tidak sama. Daripada yang tidak boleh bercakap dan bergerak langsung, seperti bayi yang baru lahir hinggalah kepada yang boleh berjalan jatuh dan, bercakap pelat-pelat, seperti budak berumur satu atau, dua tahun.”
Hadirin yang sebentar tadi bingit suaranya kini terdiam kembali. Mereka menonton video yang sedang ditayangkan itu dengan khusyuknya.

“Untuk pengetahuan semua, abang-abang dan kakak-kakak saya, telah menjangkau usia 20-an dan, 30-an. Namun, meskipun telah dilatih dengan sungguh-sungguh, mereka masih belum pandai mengurus makan minum dan berak kencing mereka sendiri. Lihatlah betapa sukarnya mak hendak melayan makan dan, pakai mereka.”
“Sewaktu saya berusia enam atau, tujuh tahun, saya sering mencemburui abang-abang, dan kakak-kakak kerana mereka, mendapat perhatian istimewa daripada mak. Saya iri hati melihat mak memandikan mereka. Saya sakit hati melihat mak menyuap mereka. Sedang saya disuruh buat semua itu sendiri.”

“Mirah dah besar, kan ? Mirah dah boleh uruskan diri Mirah sendiri, kan ?” Lembut nada suara mak tiap kali dia memujuk saya. Namun, kelembutan itu telah menyemarakkan api radang saya

“Tapi, mak tak adil!” Saya kerap membentak. “Mak buat segalagalanya untuk kakak- kakak dan abang- abang. Kalau untuk Mirah, mak selalu berkira!”

“Mirah, abang-abang dan kakak-kakak Mirah tidak secerdas Mirah. Mereka cacat!” Berkali-kali mak menegaskan kepada saya. “Sebab itulah mak terpaksa membantu mereka.”

“Mereka cacat apa, mak?” Saya membeliakkan mata kepada mak. “Semua anggota mereka cukup. Kaki dan tangan mereka tidak kudung. Mata mereka tidak buta. Yang betulnya, mereka malas, mak!”

“Mirah … Mirah belum faham, sayang.” Suara mak akan menjadi sayu tiap kali dia mempertahankan kakak-kakak dan abang-abang saya. Tetapi, kesayuan itu tidak pernah mengundang rasa simpati saya.

“Apabila difikirkan kembali, saya merasakan tindakan saya itu terlalu bodoh. Abang-abang dan kakak-kakak tak pernah kacau saya. Mak pun cuma sekali-sekala saja meminta bantuan saya menyuapkan mereka makan atau menukar kain lampin mereka. Itu pun saya tidak pernah ikhlas menolong.
Saya akan merungut tidak henti-henti sepanjang masa saya melakukan itu. Jika makanan yang saya suap tumpah atau jika abang-abang dan kakak-kakak terkencing atas tangan saya, ketika saya sedang menyalin kain lampin mereka, tangan saya ringan saja mencubit atau menampar mereka. Saya tahu mereka tidak pandai mengadu perbuatan jahat saya kepada mak. Ketika itu, memang saya langsung tidak punya rasa hormat kepada abang-abang dan kakak-kakak. Kepada saya, kehadiran mereka menyusahkan hidup saya.”

“Hantarlah abang-abang dan kakak-kakak ke rumah kebajikan, mak.” Saya pernah mengusulkan kepada mak, ketika saya berusia sepuluh tahun.
“Lepas itu, mak dan ayah boleh hidup senang-lenang macam mak dan ayah orang lain. Mirah pun takkan rasa terganggu lagi.”

“Mereka anak-anak mak, Mirah. Jadi, maklah yang patut jaga mereka, bukan petugas-petugas di rumah kebajikan.” Begitu reaksi mak setiap kali saya mencadangkan hal itu.

“Saya langsung tidak menghormati, apatah lagi mengagumi pendirian mak.
Mak memang sengaja menempah masalah. Mak tidak menghargai jalan keluar yang telah sedia terentang di hadapannya.”

“Rasa geram dan marah saya sampai ke puncaknya, semasa saya berusia dua belas tahun. Pada hari itu, mak demam teruk hingga tidak dapat bangun. Ayah terpaksa ambil cuti untuk membawa mak ke klinik. Lalu, saya ditinggalkan untuk menjaga abang-abang dan kakak-kakak di rumah.
Sebelum meninggalkan rumah, biarpun dalam keadaan yang lemah, berkali-kali mak sempat berpesan kepada saya, agar jangan lupa memberi abang-abang dan kakak-kakak makan, dan menukar kain lampin mereka.”
Suasana dewan terus sunyi. Hadirin masih khusyuk mendengar cerita gadis itu.

“Itulah kali pertama saya ditinggalkan bersama-sama abang-abang dan kakak-kakak, selama lebih kurang lima jam. Jangka masa itu cukup menyeksakan. Kebetulan pada hari itu, abang-abang dan kakak-kakak benar-benar mencabar kesabaran saya. Entah mengapa Abang Long enggan makan. Jenuh saya mendesaknya. Abang Alang dan Kak Ngah pula asyik mencirit saja. Letih saya menukar kain lampin mereka. Abang Andak pula, asyik main air ketika saya memandikannya. Basah lencun baju saya dibuatnya. Kak Anjang pula, asyik sepahkan nasi dan tumpahkan air.
Penat saya membersihkannya. ”

“Apabila mak dan ayah pulang, saya sudah seperti kain buruk, tubuh saya lunyai. Saya sudah tidak berupaya melihat muka mak dan ayah. Saya terus melarikan diri ke rumah ibu kandung saya, yang terletak di sebelah rumah mak. Begitulah lazimnya. Apabila fikiran saya terlalu kacau, saya akan ke rumah ibu untuk mencari ketenangan.”

“Ibu!” Saya menerpa masuk lalu memeluk ibu. “Kenapa ibu bagi Mirah kepada mak? Kalau ya pun ibu tidak suka Mirah, bagilah Mirah pada orang lain yang lebih menyayangi Mirah, bukan mak.”

“Mirah!” Ibu merangkul saya. ” Kan dah berkali-kali ibu tegaskan yang ibu bagi Mirah kepada mak bukan kerana ibu tak sayang Mirah.”

“Lazimnya ibu akan membuka kembali lipatan sejarah hidupnya apabila situasi itu berlaku. Ibu ialah kakak mak. Ibu sakit teruk setelah melahirkan saya. Selama berbulan-bulan ibu terlantar di hospital, mak yang telah menjaga saya. Setelah ibu sembuh, ibu dapat lihat sendiri betapa gembiranya mak dapat menjaga seorang anak normal.

Justeru, ibu tidak sampai hati hendak memisahkan kami.”

“Ibu telah berasa betapa nikmatnya menjaga tujuh orang anak yang pintar dan cerdas. Jadi, biarlah nikmat itu turut dirasakan oleh mak pula dengan menjaga Mirah. Lagipun, dengan menyerahkan Mirah kepada mak, ibu masih dapat melihat Mirah membesar di hadapan mata ibu, walaupun Mirah tinggal bersama-sama mak. Dari pemerhatian ibu, ibu rasa, mak lebih menyayangi Mirah berbanding dengan anak anaknya yang lain.”

“Sayang apa? Ibu tahu tak yang rumah tu macam neraka bagi Mirah? Ibu tahu tak yang Mirah ni tak ubah seperti hamba di rumah tu?”

“Jangan besar-besarkan perkara yang kecil, Mirah. Ibu tahu sekali-sekala saja mak membebankan Mirah dengan kerja-kerja rumah dan tugas menjaga abang-abang dan kakak-kakak Mirah. Itu pun Mirah buat tidak sesungguh hati. Nasi mentahlah, lauk hanguslah, abang-abang, dan kakak-kakak kena lempanglah.”

“Mak adu semua kepada ibu, Ya?” Saya masih mahu berkeras meskipun saya tahu saya bersalah.

“Mak jarang-jarang mengadu keburukan Mirah kepada ibu. Ibu sendiri yang kerap mengintai Mirah dan melihat bagaimana Mirah melaksanakan suruhan mak.”

“Saya tunduk. Saya sudah tidak sanggup menentang mata ibu.”

“Ibu malu, Mirah. Ibu mengharapkan kehadiran Mirah di rumah mak kau itu dapat meringankan penderitaan mak.

Tetapi, ternyata kehadiran Mirah di rumah itu menambahkan beban mak.”

“Saya benar-benar rasa terpukul oleh kata-kata ibu.”

“Ibu rasa, apa yang telah mak beri kepada Mirah, jauh lebih baik daripada apa yang diberi kepada anak-anaknya sendiri. Mirah dapat ke sekolah. Kakak-kakak dan abang-abang Mirah hanya duduk di rumah. Mirah dapat banyak pakaian cantik. Sedang anak-anak mak yang lain pakaiannya itu-itulah juga. Setiap kali Mirah berjaya dalam peperiksaan, mak sungguh gembira. Dia akan meminta ibu tolong menjaga abang-abang dan kakak-kakak kerana dia nak lihat Mirah terima hadiah.”

“Saya tidak sanggup mendengar kata-kata ibu selanjutnya, bukan kerana saya tidak mengakui kesalahan saya, tetapi kerana saya benar-benar malu.”

“Saya meninggalkan rumah ibu bukan kerana berasa tersisih daripada ibu kandung sendiri, atau berasa kecewa sebab tidak mendapat pembelaan yang diharap- harapkan. Saya meninggalkan rumah ibu dengan kesedaran baru.” “Sesampainya saya ke rumah tempat saya berteduh selama ini,saya dapati mak yang belum sembuh betul sedang melayan kerenah abang-abang dan kakak-kakak dengan penuh sabar. Saya terus menghilangkan diri ke dalam bilik kerana saya dihantui oleh rasa bersalah. Di dalam bilik, saya terus resah-gelisah. ”

“Mirah,” panggilan lembut mak seiring dengan bunyi ketukan di pintu bilik saya. “Mirah.”

“Saya cepat-cepat naik ke atas katil dan memejam mata, pura-pura tidur.”

“Sejurus kemudian, terdengar bunyi pintu bilik saya dibuka. “Mirah dah tidur rupa-rupanya! Kesian. Tentu Mirah letih menjaga abang-abang dan kakak- kakak semasa mak, ke klinik siang tadi. Maafkan mak, sayang. Mak tahu Mirah masih terlalu muda untuk memikul beban seberat itu. Tapi, keadaan benar- benar terdesak pagi tadi, Mirah. Mak janji, lain kali mak tak akan kacau Mirah lagi. Mak akan meminta ibu atau orang lain menjaga abang- abang dan kakak-kakak kalau mak terpaksa tinggalkan rumah”

Sepanjang mak berkata-kata itu, tangan mak terus mengusap-usap dahi saya. Suara mak tersekat-sekat. Saya terlalu ingin membuka mata dan menatap wajah mak ketika itu.

“Mirah, mak tahu Mirah tak bahagia tinggal bersama-sama mak.”

Suatu titisan air mata gugur di atas dahi saya. Kemudian, setitik lagi gugur di atas pipi saya. Selepas itu, titisan-titisan itu kian rancak gugur menimpa serata muka dan leher saya.

“Walau apa pun tanggapan Mirah kepada mak, bagi mak, Mirah adalah segala-galanya. Mirah telah menceriakan suasana dalam rumah ini. Mirah telah menyebabkan mak berasakan hidup ini kembali berharga. Mirah telah. ..”

“Mak!” Saya lantas bangun lalu memeluk mak. Kemudian, tiada kata-kata yang lahir antara kami. Yang kedengaran hanyalah bunyi sedu-sedan dan esak tangis.

Peristiwa pada hari itu dan, pada malamnya telah mengubah pandangan saya terhadap mak, abang-abang dan kakak-kakak. Saya mula merenung dan menilai keringat mak. Saya mula dapat menerima keadaan kakak- kakak dan abang- abang serta belajar menghormati dan, menyayangi mereka.

Keadaan dewan menjadi begitu sunyi seperti tidak berpenghuni sejak gadis itu berbicara.

Setelah meraih kejayaan cemerlang dalam peperiksaan penilaian darjah lima , saya telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah, di sebuah sekolah berasrama penuh. Saya telah menolak tawaran tersebut.

“Kenapa Mirah tolak tawaran itu?”

“Bukankah di sekolah berasrama penuh itu Mirah boleh belajar dengan sempurna?”

“Betul tu, Mirah. Di sana nanti Mirah tak akan berdepan dengan gangguan daripada abang-abang dan kakak-kakak! ”

“Mirah tak menyesal ke, kemudian hari nanti?”

Bertubi-tubi mak dan ayah menyoal. Mata mereka tidak berkelip-kelip memandang saya.

“Mak, ayah.” Saya menatap wajah kedua-dua insan itu silih berganti.
“Mirah ingin terus tinggal di rumah ini. Mirah ingin terus berdamping dengan mak, ayah, abang-abang dan kakak-kakak. ”

“Tapi, boleh ke Mirah buat ulang kaji di rumah? Pelajaran di sekolah menengah itu, bukannya senang.” Mak masih meragui keupayaan saya.

“Insya-Allah, mak. Mirah rasa, Mirah dapat mengekalkan prestasi Mirah semasa di sekolah menengah nanti,” balas saya penuh yakin.

Mak dan ayah kehabisan kata-kata. Mulut mereka terlopong. Mata mereka terus memanah muka saya. Garis-garis kesangsian masih terpamer pada wajah mereka. Sikap mak dan ayah itu telah menguatkan azam saya untuk terus menjadi pelajar cemerlang, di samping menjadi anak dan adik yang baik.

Selama di sekolah menengah, mak sedapat mungkin cuba membebaskan saya daripada kerjakerja memasak dan mengemas rumah, serta tugas menjaga makan pakai abang-abang dan kakak-kakak kerana takut pelajaran saya terganggu. Sebaliknya saya lebih kerap menawarkan diri untuk membantu, lantaran didorong oleh rasa tanggungjawab dan timbang rasa.

Gadis yang bernama Nurul Humairah itu terus bercerita dengan penuh semangat, apabila melihatkan hadirin di dalam dewan itu mendengar ceritanya dengan penuh minat.

“Saya terpaksa juga meninggalkan rumah sewaktu saya melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia . Di sana saya membuat pengkhususan dalam bidang pendidikan khas. Bidang ini sengaja saya pilih kerana saya ingin menabur bakti kepada segelintir pelajar yang kurang bernasib baik. Di samping itu, pengetahuan yang telah saya peroleh itu, dapat saya manfaatkan bersama untuk abang-abang dan kakak-kakak. ”

“Kini, telah setahun lebih saya mengharung suka duka, sebagai seorang guru pendidikan khas di kampung saya sendiri. Saya harus akui,segulung ijazah yang telah saya miliki tidak seberapa nilainya, berbanding dengan mutiara-mutiara pengalaman yang telah mak kutip sepanjang hayatnya.”

“Sekarang, saya lebih ikhlas dan lebih bersedia untuk menjaga abang-abang dan kakak-kakak. Pun begitu, hati ini sering tersentuh apabila beberapa kali saya terdengar perbualan mak dan Ayah.”

“Apa akan jadi kepada kelima-lima orang anak kita itu lepas kita tak ada, bang?” suara mak diamuk pilu.

Ayah akan mengeluh, kemudian berkata, “Entahlah. Takkan kita nak harapkan Mirah pula?”

“Mirah bukan anak kandung kita.” Mak meningkah. “Kita tak boleh salahkan dia kalau dia abaikan abang-abang dan kakak-kakaknya. ”

“Mirah nak tegaskan di sini, mak, yang Mirah akan membela nasib abang-abang dan, kakak-kakak lepas mak dan ayah tak ada. Ya, memang mereka bukan saudara kandung Mirah. Tapi, tangan yang telah membelai tubuh Mirah dan tubuh mereka adalah tangan yang sama. Tangan yang telah menyuapkan Mirah dan mereka, juga tangan yang sama. Tangan yang memandikan Mirah dan mereka, adalah tangan yang sama, tangan mak.”

Kelihatan gadis yang berkebarung ungu, berbunga merah jambu itu, tunduk sambil mengesat air matanya dengan sapu tangannya. Kebanyakan hadirin, khususnya wanita turut mengesat air mata mereka.

Gadis itu menyambung bicaranya. Tiga bulan lalu, saya terbaca mengenai pencalonan anugerah “Ibu Misali” dalam akhbar. Saya terus mencalonkan mak, di luar pengetahuannya. Saya pasti, kalau mak tahu, dia tidak akan merelakannya. Saya sendiri tidak yakin yang mak akan terpilih untuk menerima anugerah ini, sebab anak- anak mak bukan terdiri daripada orang-orang yang disanjung masyarakat, seperti lazimnya anak- anak “Ibu Misali” yang lain.

“Lorong dan denai kehidupan yang orang-orang seperti mak lalui mempunyai banyak duri dan, ranjau berbanding dengan ibu-ibu lain. Betapa keimanan mak tidak tergugat biarpun berdepan dengan dugaan yang sebegini hebat. Tiada rasa kesal. Tiada rasa putus asa. Tidak ada salah-menyalahkan antara mak dan ayah.”

“Maafkan Mirah sekali lagi, mak. Hingga ke saat- saat terakhir tadi, mak masih tidak menyenangi tindakan Mirah mencalonkan mak, untuk menerima anugerah ini. Mak merasakan diri mak terlalu kerdil lebih-lebih lagi setelah mak mendengar pengisahan “Ibu Misali” pertama, kedua dan ketiga. Berkali-kali mak tegaskan yang mak menjaga anak-anak mak bukan kerana mahukan anugerah ini, tapi kerana anak-anak adalah amanah Tuhan.”

“Saya ingin jelaskan di sini bahawa saya mencalonkan mak untuk anugerah ini, bukan dengan tujuan merayu simpati. Saya cuma berharap kegigihan dan ketabahan mak akan dapat direnung oleh ibu-ibu lain, terutama ibu-ibu muda yang senang-senang mendera dan mencampakkan anak mereka yang cornel, segar-bugar serta sempurna fizikal dan, mental.”

“Sebagai pengakhir bicara, sekali lagi saya ingin merakam penghargaan saya kepada pihak penganjur, kerana telah mempertimbangkan mak saya sebagai salah seorang penerima anugerah “Ibu Misali” tahun ini. Semoga pemilihan mak ini akan memberi semangat baru kepada ibu-ibu lain yang senasib dengan mak.”

“Sekian, wassalamualaikum warahmatullah. ”

Gadis itu beredar meninggalkan pembesar suara.

Penku telah lama terbaring. Buku notaku telah lunyai dek air mataku sendiri. Bahuku dienjut-enjut oleh sedu- sedanku. Pandanganku menjadi kabur. Dalam pandangan yang kabur-kabur itu, mataku silau oleh pancaran cahaya kamera rakan semejaku. Aku segera mengangkat kameraku dan menangkap gambar secara rambang tanpa mengetahui sudut mana atau, apa sebenarnya yang telah menarik perhatian wartawan-wartanan lain.

‘Bertenang. Kau di sini sebagai pemberita. Kau seharusnya berusaha mendapat skop yang baik, bukan dihanyutkan oleh perasaan kau sendiri.’
Terdengar pesanan satu suara dari dalam diriku.

Lantas, aku mengesat air mataku. Aku menyelak buku notaku mencari helaian yang masih belum disentuh oleh air mataku. Aku capai penku semula.

“Demikianlah kisah pelayaran seorang ibu di samudera kehidupan yang tidak sunyi dari ombak dan badai. Sekarang, dijemput Yang Berbahagia Puan Sri Salwa Najwa dengan diiringi oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan “Ibu Mithali” untuk menyampaikan anugerah “Ibu Mithali” serta beberapa hadiah iringan kepada Puan Afifah Rashid. Yang Berbahagia Puan Sri dipersilakan. ”

Nurul Humairah membantu maknya bangun. Kemudian, dia memimpin maknya melangkah ke arah Yang Berbahagia Puan Sri Salwa Najwa. Lutut maknya menggeletar. Namun begitu kerana dia tidak berdaya menahan perasaannya dia terduduk kembali di atas kerusi.

Melihatkan itu, Yang Berbahagia Puan Sri Salwa Najwa sendiri datang mendapatkan Puan Afifah, lalu mengalungkan pingat itu. Setelah itu, beliau menyampaikan beberapa hadiah iringan. Air mata Puan Afifah berladung.

Tepukan gemuruh bergema dari segenap penjuru dewan. Sejurus kemudian, seorang demi seorang penerima anugerah “Ibu Mithali” sebelumnya, naik ke pentas bersalaman dan berpelukan dengan Puan Afifah. Bertambah lebatlah hujan air mata penerima anugerah “Ibu Mithali” yang terakhir itu.

Tangan Yang Indah

 
(Kepada sesiapa yang masih ada ibu… )

Ketika ibu saya berkunjung, ibu mengajak saya untuk shopping bersamanya kerana dia menginginkan sepasang kurung yg baru. Saya sebenarnya tidak suka pergi membeli belah bersama dengan orang lain, dan saya bukanlah orang yang sabar, tetapi walaupun demikian kami pergi juga ke pusat membeli belah tersebut. Kami mengunjungi setiap butik yang menyediakan pakaian wanita, dan ibu saya mencuba sehelai demi sehelai pakaian dan mengembalikan semuanya. Seiring hari yang berlalu, saya mulai penat dan kelihatan jelas riak2 kecewa di wajah ibu.

 

 

ini saya ikut masuk dan berdiri bersama ibu saya dalam fitting room, saya melihat bagaimana ibu mencuba pakaian tersebut, dan dengan susah mencuba untuk mengenakannya. Ternyata tangan-tangannya sudah mulai dilumpuhkan oleh penyakit radang sendi dan sebab itu dia tidak dapat melakukannya, seketika ketidaksabaran saya digantikan oleh suatu rasa kasihan yang dalam kepadanya. Saya berbalik pergi dan cuba menyembunyikan air mata yang keluar tanpa saya sedari. Setelah saya mendapatkan ketenangan lagi, saya kembali masuk ke fitting room untuk membantu ibu mengenakan pakaiannya.


Sepanjang sisa hari itu, fikiran saya tetap saja kembali pada saat berada di dalam fitting room tersebut dan terbayang tangan ibu saya yang sedang berusaha mengenakan pakaiannya. Kedua tangan yang penuh dengan kasih, yang pernah menyuapi, memandikan saya, memakaikan baju, membelai dan memeluk saya, dan terlebih dari semuanya, berdoa untuk saya, sekarang tangan itu telah menyentuh hati saya dengan cara yang paling berbekas dalam hati saya. Kemudian pada malam harinya saya pergi ke kamar ibu saya mengambil tangannya, lantas menciumnya … dan yang membuatnya terkejut, saya memberitahunya bahwa bagi saya kedua tangan tersebut adalah tangan yang paling indah di dunia ini. Saya sangat bersyukur bahwa Tuhan telah membuat saya dapat melihat dengan sejelasnya, betapa bernilai dan berharganya kasih sayang yang penuh pengorbanan dari seorang ibu.

 


Saya hanya dapat berdoa bahwa suatu hari kelak tangan saya dan hati saya akan memiliki keindahannya tersendiri. Dunia ini memiliki banyak keajaiban, segala ciptaan Tuhan yang begitu agung, tetapi tak satu pun yang dapat menandingi keindahan tangan Ibu…

IBU…

Orang kata aku lahir dari perut ibu..
Bila dahaga, yang susukan aku.. ibu
Bila lapar, yang suapkan aku..ibu
Bila keseorangan, yang sentiasa di sampingku.. ibu
Kata ibu, perkataan pertama yang aku sebut.. Bu!
Bila bangun tidur, aku cari.. ibu
Bila nangis, orang pertama yang datang ..ibu
Bila nak bermanja… aku dekati ibu
Bila nak bergesel… aku duduk sebelah ibu
Bila sedih, yang boleh memujukku hanya ibu
Bila nakal, yang memarahi aku… ibu
Bila merajuk… yang memujukku cuma..ibu
Bila melakukan kesalahan… yang paling cepat
marah..ibu
Bila takut… yang tenangkan aku.. ibu
Bila nak peluk… yang aku suka peluk..ibu
Aku selalu teringatkan ..Ibu
Bila sedih, aku mesti talipon… Ibu
Bila seronok… orang pertama aku nak beritahu… Ibu
Bila bengang.. aku suka luah pada ..Ibu
Bila takut, aku selalu panggil.. “ibuuuuuuuuuuuuu! ”
Bila sakit, orang paling risau adalah ..Ibu
Bila nak exam, orang paling sibuk juga Ibu
Bila buat hal, yang marah aku dulu..Ibu
Bila ada masalah, yang paling risau.. Ibu
Yang masih peluk dan cium aku sampai hari ni.. Ibu
Yang selalu masak makanan kegemaranku. . Ibu
Yang selalu simpan dan kemaskan barang-barang aku, Ibu
Yang selalu berleter kat aku.. Ibu
Yang selalu puji aku.. Ibu
Yang selalu nasihat aku.. Ibu
Bila nak kahwin..
Orang pertama aku tunjuk dan rujuk… Ibu

Aku ada pasangan hidup sendiri
Bila seronok… aku cari pasanganku
Bila sedih… aku cari Ibu
Bila berjaya… aku ceritakan pada pasanganku
Bila gagal… aku ceritakan pada Ibu
Bila bahagia, aku peluk erat pasanganku
Bila berduka, aku peluk erat Ibuku
Bila nak bercuti… aku bawa pasanganku
Bila sibuk… aku hantar anak ke rumah Ibu
Bila sambut hari ibu… aku cuma dapat ucapkan Selamat
Hari Ibu
Selalu… aku ingat pasanganku
Selalu… Ibu ingat kat aku
Bila..bila.. . aku akan talipon pasanganku
Entah bila.. aku nak talipon Ibu
Selalu… aku belikan hadiah untuk pasanganku
Entah bila…. aku nak belikan hadiah untuk Ibuku

Renungkan:

Dulu Ibu kata: “Kalau ko dah habis belajar dan dah
kerja… boleh tak kirim wet kat mak? mak
bukan nak banyak… lima puluh ringgit sebulan pun
jadilah”.

Berderai air mata. Hari ini kalau Ibu mahu lima ratus
sebulan pun aku mampu. Aku boleh kirimkan. Tapi Ibu
sudah tiada.

ingatlah pengorbanan ibuuuuu….

MAHKOTA UNTUK AYAH

MAHKOTA UNTUK AYAH
qamar_muneera


“Ayah, maafkan Udin. Andai Udin tahu hasrat ayah. Andai Udin tahu impian ayah. Andai Udin tahu rahsia hati ayah. Udin takkan bantah cakap ayah. Udin akan mengaji Quran sungguh-sungguh dengan Ustaz Naim. Udin akan tunaikan impian ayah kala ayah masih disisi,” sayu kedengaran suara Ustaz Saifuddin. 

Jiwanya dibentur gundah. Dia baru usai menghadiahkan bacaan Yassin buat ayah. Ustaz Saifuddin mengusap-usap lembut batu nisan. Seakan-akan dia membelai kepala ayah. Raut wajahnya terpampang rasa terkilan.

“ Udin buka kelas Al-Quran untuk orang-orang tua sekarang. Udin mengajar sepenuh masa di situ. Ramai pakcik-pakcik dan makcik-makcik datang mengaji. Seronok Udin tengok semangat mereka. Bersungguh-sungguh benar mereka mahu belajar Al-Quran. Kalau ayah ada…,” 

Udin tidak dapat meneruskan bicara. Kerongkongnya terasa perit. Air yang bertakung di tubir mata sudah lama berjujuhan.

“Ayah, semalam Udin mimpi. Udin lihat ayah dipakaikan mahkota yang sinarnya terang benderang. Lebih bercahaya dari sinar matahari. Wajah ayah berseri-seri. Ayah pandang Udin. Ayah senyum. Tak pernah Udin tengok ayah senyum semanis itu. Kalau boleh, waktu itu Udin tidak mahu celikkan mata. Biarlah Udin terus pejam dan menikmati senyuman ayah. Adakah ayah sudah ampunkan Udin? Ayah, Udin rindukan ayah,” Ustaz Saifuddin menyeka air mata yang kian tidak terbendung. 

 

************ ********* ********* ********* *******

Wajah Udin berkerut menahan sakit. Rasa tidak puas hati menyembur-nyembur dari anak matanya. Dikerling betis yang kini berbalar. Kesan-kesan merah tampak jelas. Air mata ditahan. Tidak dibenarkan walaupun setitis gugur. Menangis ertinya lemah. Ayah tidak adil. Kenapa dia sahaja yang selalu kena marah. Kenapa dia sahaja yang selalu dirotan. Ayah memang tidak sayangkan dia. Ayah hanya sayangkan Kak Sarah. 

Dia menjeling tajam ke arah Kak Sarah. Geram membuncah di hati melihat muka selamba Kak Sarah yang seolah-olah mengejek-ejeknya. Kak Sarah memang sengaja hendak kenakan dia. Kak Sarah memang gatal mulut. Kak Sarah tidak patut memaklumkan ayah tentang hal dia mandi di sungai hujung kampung sekaligus tidak menghadiri kelas agama. Kak Sarah memang menyibuk. 

Muqaddam dan papan rehal di atas meja diregut kasar. Kakinya sengaja dihentak-hentak ketika berjalan. Berdetap-detup bunyi papan lantai dipijak.

“ Nanti!” Kak Sarah menahannya.

“Apa lagi!” sergah Udin. Mukanya merona merah.

“Tak mahu pakai kopiahkah?” Kak Sarah berlembut. Cuba menyiram api kemarahan adiknya. 

Cepat-cepat Udin merabut kopiah lusuh di tangan Kak Sarah. Ternyata Kak Sarah gagal menyejukkan hati Udin. Udin lemas selalu dileteri ayah. Ayah selalu membanding-bandingk an dirinya dengan Kak Sarah. Ayah selalu memuji-muji Kak Sarah. Memang dia tidak nafikan Kak Sarah punya banyak kelebihan berbanding dirinya. Darjah tiga Kak Sarah sudah khatam Al-Quran. Setiap tahun Kak Sarah naik ke pentas menerima anugerah pelajar cemerlang. 

Dengan keputusan yang memberangsangkan dalam UPSR Kak Sarah dapat melanjutkan pelajar di sebuah sekolah menengah sains. Memang Kak Sarah menjadi kebanggaan ayah dan emak. Sebaliknya, Udin masih membaca Muqaddam walaupun kini sudah berusia sepuluh tahun. Namanya kerap juga dipanggil waktu perhimpunan kerana tidak siap tugasan yang diberi oleh guru ataupun ponteng kelas. 

Dia lebih suka menghabiskan sepanjang petang memancing ikan atau mandi sungai di hujung kampungnya daripada menghadiri kelas agama. Kadang-kadang dia berbasikal hingga ke kampung seberang semata-mata mahu bermain bola sepak. Pada malam hari, budak-budak lain terkocoh-kocoh pergi mengaji di rumah Ustaz Naim, Udin bersama-sama dua tiga rakannya yang lain seronok berlumba basikal di atas ban. 

Ayah rungsing memikirkan tentang anak jantannya yang seorang ini. Degilnya bukan sedikit. Puas Udin dirotan dan dihukum oleh ayah. Pernah ayah mengikat Udin pada batang pokok rambutan di belakang rumah kerana ponteng kelas mengaji. Habis badan Udin merah-merah digigit kerengga. Pernah juga Udin dikurung di luar rumah kerana pulang dari bermain lewat petang. Namun, insafnya hanya bertahan beberapa hari sahaja. Kemudian Udin kembali dengan sikap bebalnya. 

Lantaran itu, Udin acapkali dimarahi dan dileteri ayah. Tiada hari yang dilalui Udin tanpa bebelan dan jalur-jalur merah pada tubuh kecilnya. Mujur ada emak. Emaknyalah yang selalu mempertahankannya apabila dia dimarahi ayah. Ketika ayah mengangkat rotan, Udin cepat-cepat berlindung di belakang emaknya. 

“ Esok kita akan bertolak selepas subuh. Pakaian dan barang-barang keperluan dah siap dikemas Udin?” suara garau ayah mengejutkan Udin. Lamunannya terganggu. Raut wajah ayu Fatimah, anak Haji Hussain yang bermain-main dalam anak matanya sebentar tadi pecah berkecai.

“ Sudah ayah,” Udin gugup. Matanya disapa sayu. 

Esok Udin akan berpisah dengan Fatimah. Udin akan dihantar melanjutkan pelajar di sebuah pondok di Kelantan. Keputusan UPSR yang corot menyebabkan dia tidak berjaya menempatkan diri di mana-mana sekolah menengah berasrama penuh mahupun sekolah menengah sains. Ayah mengambil keputusan menghantar Udin mendalami ilmu agama. Itu memang impian ayahnya selama ini. Ayah tidak mahu Udin bergaul lagi dengan rakan-rakan yang biadap tingkahnya. 

Pada mulanya Udin berasa tertekan amat. Udin terkongkong dengan pelbagai peraturan dan pantang larang sepanjang berada di pondok. Kebebasan bermain dan merayau-rayau bersama rakan-rakan yang pernah dinikmati suatu masa dulu tidak dapat dilaksanakan lagi kini. Setiap hari, Udin perlu menghadap Al-Quran. Bukan sekadar membaca, menghafal malah! Udin juga perlu mengulit pelbagai kitab-kitab tebal seperti Fathul Muin, Riyadhus Salihin dan Ihya Ulumuddin. 

Segala kerja rumah harian seperti membasuh, melipat dan menyeterika baju terpaksa dilakukan sendiri. Udin agak ketinggalan berbanding sahabat-sahabat lain kerana Udin masih merangkak-rangkak membaca Al-Quran. Lantaran itu, dia tidak dapat menghantar banyak hafalan baru sewaktu tasmi dengan ustaz. Penguasaan bahasa arabnya juga lemah. 

Pernah disuarakan pada ayahnya untuk berhenti belajar di pondok dan menyambung saja pengajian di sekolah menengah biasa. Namun ayah tidak ambil pusing. Mahu tidak mahu, Udin cuba menyesuaikan diri. Dia cium tangan, pipi dan dahi panas ayah seperti biasa pagi Jumaat itu sebelum bertolak pulang ke pondok selepas menghabiskan cuti beberapa hari di rumah. 

Ketika usai solat asar petang hari yang sama, mudir madrasah, Ustaz Syukri tergesa-gesa berjumpanya. Dia terjelepuk longlai mendengar berita pemergian ayah. Petang itu juga dia pulang semula ke kampung halamannya. Bagai mimpi. Sabtu keesokan hari Udin mencium pipi dan dahi sejuk ayah yang tidak lagi bernyawa. 

Kata emak ayah meninggal ketika menanti waktu asar menjelang. Tiba-tiba sahaja jantungnya gagal berfungsi.Wajahnya masih dibasahi titisan air wudhuk kala malaikat maut bertandang. Udin harapan ayah. Udin sandaran ayah. Suatu hari nanti, apabila Udin sudah pandai mengaji dan mahir ilmu Al-Quran ,ayah mahu belajar dengan Udin. Ayah tidak tahu baca Quran. Ibu hendak ajarkan dia tidak mahu. Ayah hendak Udin yang ajarkan dia. 

Setiap hari dia panjatkan doa agar Allah lembutkan hati Udin dan mudahkan Udin belajar Quran. Ayah malu untuk berguru dengan Ustaz Naim. Katanya sudah senja sangat untuk berguru lagi. Bicara ibu beberapa hari selepas ayah dikebumikan bersimpongang di indera dengar Udin. Tiada air mata yang tumpah kala itu. Bukan Udin tidak sedih. Bukan Udin tidak tersentuh. Cuma segala-galanya berlaku tanpa diduga. 

“Orang yang membaca Al-Quran sedangkan dia mahir melakukannya, kelak mendapat tempat di dalam Syurga bersama-sama dengan rasul-rasul yang mulia lagi baik. Sedangkan orang yang membaca Al-Quran,tetapi dia tidak mahir, membacanya tertegun-tegun dan nampak agak berat lidahnya yakni dia belum lancar, dia akan mendapat dua pahala. Hadis ini diriwayat oleh Bukhari dan Abul Husain Muslim bin Al-Hujjaj bin Muslim Al-Qusyaiy An-Nisabury dalam dua kitab Shahih mereka,” Ustaz Syukri menyejukkan hati Udin tika Udin mengadu kesukarannya membaca Al-Quran apatah lagi menghafalnya.

“ Ustaz, bagaimana mungkin saya lakukan untuk membantu ayah yang tidak mengenal huruf-huruf Quran jauh sekali membacanya?” udin melontar pertanyaan yang terbuku dalam hatinya. Ustaz Syukri mengelus-elus janggutnya yang kian memutih. Air mukanya tenang. Hati pasti akan damai memandang kejernihan wajahnya. 

“ Udin ajarlah ayah. Di sini Udin belajar sungguh-sungguh ilmu Quran. Kemudian bila pulang ke kampung Udin kenalkan ayah dengan Kalamullah ini. Ingat, sebaik-baik kalian adalah yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya. Orang tua ini selalunya ego. Dia segan nak pergi belajar dengan orang lain. Tentu dia malu. Mungkin dia akan lebih selesa jika yang mengajarnya itu darah dagingnya sendiri,” Ustaz Syukri menepuk-nepuk lembut belakang badan Udin.

“Tapi ayah Udin sudah tiada lagi…”Udin bersuara. Perlahan.Dia menekur hamparan hijau yangdijadikan alas duduk. Angin yang menyembung dari ruang tingkap bertiup kasar menampar-nampar tubuh Udin. Angin seperti mengutuk Udin kerana dosa-dosa lampau pada ayah. Sedih mengasak-ngasak sukma. 

“Barangsiapa membaca Al-Qur’an dan mengamalkan isinya, Allah memakaikan pada kedua orang tuanya di hari kiamat suatu mahkota yang sinarnya lebih bagus dari pada sinar matahari di rumah-rumah di dunia. Maka bagaimana tanggapanmu terhadap orang yang mengamalkan ini,” Ustaz Syukri memetik kembali hadis riwayat Abu Dawud yang pernah dibaca sewaktu dalam kelas Al-Quran. 

Ketika itu mereka sedang menekuni kitab At-Tibyaan fii Aadaabi Hamalatil Quran karangan Imam Nawawi. Udin tertegun. Udin menyeka air matanya. Wajah Ustaz Syukri direnung. Ada semangat menyelinap dalam lipatan hatinya. Biar dia masih bertatih membaca Kalam Allah. Biar dia tidak hebat seperti Kak Sarah dalam pelajaran. Biar sahabat-sahabat jauh meninggalkannya di belakang. Dia tidak akan putus asa.Dia akan mendalami bersungguh-sunggguh ilmu Quran dan mengamalkannya. 

Dia mahu hadiahkan ayah mahkota itu. Dia mahu ayah miliki mahkota itu dan menghuni syurga Ilahi walau ayah tidak pernah menyelak lembaran Quran apatah lagi membacanya. Angin kembali berpuput mesra. Seolah-olah memujuk udin. Seolah-olah merestui impiannya.

Sahabat

Mmg susah nak cari sorg sahabat sejati

Tambah lagi dlm usia kita yg mendesak nakkan shbt sejati..

Tp pernahkah kita ingat bhw shbt sejati tu
mcm kita
terciptanya kita dr DIA

Begitu juga shbt2 kita

Sbg insan yg lemah
shbt2 merupakan penguat kita
merupakan tem,an suka dan duka
Berbeza dgn kawan
Ada kwn waktu gembira dan ada jg shbt wktu sedih

Terdapat satu kisah
seorang insan yg sgt2 menyayangi shbt
mengalahkan pasangan kekasih laku mereka
Namun, kasih mereka LillAHI Ta’ala
dan keluarga mereka memahami..

Namun, tanpa disangka
Sahabat yg disenangi dan dipercayai
Menikamnya dr belakang
Terlalu byk shbtny menipu..terlalu byk..
Sehingga terdetik di hati..Knp dia menipu??
Apakah salahnya jika berterus terang..

Namun..
Begitulah manusia..bila diminta berterus terang
Pelbagai alasan dan dalih diungkapkan..
Apalah ertinya persahabatan tanpa kejujuran??

Dan yg paling penting
Apakah niat kita di sebalik persahabatan itu sebenarnya??
Terpulang pada kita menafsir
Tepuk dada,tanyalah iman..

Begitu juga ana..
Terlalu byk pengalaman masa silam
Byk sgt sehingga terbuka  minda utk berfikir
Jgn terlalu mengasihi insan kerana insan itu tetap akan mati
Sebaliknya, padukanlah cinta dan kasihmu padaNYA
Sesungguhnya DIA tak pernah menipu kita..

Buat shbt2ku
Mg kita terus istiqomah dlm amalan kita
Yg penting..ingatlah apa tujuan kita dijadikan..
"Tidak AKU jadikan jin dan manusia itu melainkan utk beribadah padaKU"

SAHABAT..

Yang bernama sahabat itu luhur maksudnya,
Sentiasa bersama dalam suka atau duka,
Menegur kesilapan, memuji kebaikan, menutup ke’aiban,
Tatkala teralpa, dialah yang mengingatkan,
Tatkala bergelap, dialah yang menerangi,
1_548840902m
Tatkala terkurang, dialah yang menambahkan,
Tatkala terlebih, dialah jadi pengagih,
Beban berat sama dipikul, beban ringan sama dijinjing,
Sentiasa ada waktu ketika diperlukan,
Kerana ketawa dan tangis sahabat itu sentiasa berpintal,
Bertemu dan berpisah cuma hanya dengan redha Ilahi..

ALANGKAH BAGUSNYA SOLATMU!!

Di antara adab dalam solat adalah menjaga salam dengan sempurna dan duduk sebentar selepas salam untuk berzikir atau berdoa sebelum beredar. Jika solat jema’ah, ada masanya Imam menghadapkan mukanya kepada makmum setelah salam. Makmum pula makruh bangun dari tempat duduknya sebelum imam berpaling.

Diceritakan bahawa suatu hari Talhah dan Az-Zubair mengerjakan solat di belakang seorang imam yang diikuti oleh para makmum lainnya. Sebaik sahaja imam bersalam, tiba-tiba makmum telah bangun sebelum imamnya berpaling, sedang imam pula tidak menghadapkan mukanya pada makmum.

"Alangkah bagus dan sempurnyanya solat engkau, kecuali satu perkara. Iaitu tatkala engkau memberi salam, tidak memalingkan muka engkau."kata Talhah dan Zubair kepada si imam. Mendengar itu, sang imam tertunduk malu.

Kemudian, Talhah dan Zubair pergi pula kepada para makmum yang telah beredar itu sambil berkata "Alangkah bagus dan sempurnanya solat kamu, kecuali kamu terus cabut lari sebelum imammu berpaling."

Sesetengah salaf berkata: " Manusia yang lebih sempurna nasibnya pada hari Jumaat ialah yang menunggu hari Jum’at sejak hari Khamis. Adapun yang paling ringan nasibnya ialah orang yang pada pagi hari Juma’at masih bertanya :"Hari apakah hari ini?"

RENUNGAN

IMA800x60013M GHAZALI menjelaskan bahawa sabar bermakna kukuhnya pendirian dan dorongan agama ketika berhadapan dengan dugaan dan dorongan hawa nafsu. Dorongan agama ialah hidayah ALLAH kepada manusia untuk mengenalinya, RasulNYA serta untuk mengetahui dan mengamalkan ajaranNYA serta akibatnya. Sabar adalah sifat yang membezakan antara manusia dan haiwan dalam soal menundukkan hawa nafsu. Dorongan hawa nafsu adalah tuntutan syahwat dan keinginan yang meminta dilaksanakan..